Wednesday, September 14, 2016

Segenap Ilmu Kisah Para Wali dan Bahtera Nabi Nuh a.s


Bismillahirahmanirrahim

Assalamualaikum sahabat semua. Apa khabar kalian? Semoga sihat dan sejahtera hendaknya. Malam ini cuaca sangat tenang. Langit mungkin disimbahi cahaya purnama. Lampu-lampu alam berkerlipan memenuhi seluruh alam semesta.  Hari ini saya meluangkan masa dengan membaca sebuah buku terbitan PTS Millenia bertajuk ‘Misteri Bahtera Nuh a. s, Fenomena Banjir Besar Dalam Sejarah’.  Buku ini menceritakan sedetail-detailnya tentang peristiwa tersebut. Dikarang oleh Ahmad Iqram Mohamad Noor yang menyertakan beberapa rujukan daripada al-Quran, kitab Bible, kitab Veda dan beberapa rujukan lain. Saya agak tertarik dengan kaedah rujukan penulisnya. Kalau sebelum ini saya banyak mendapati sumber rujukan yang mana al-Quran lebih dominan sebagai rujukan utama dalam setiap penulisan tetapi buku ini pula menjadikan sumber lain juga adalah rujukan utamanya.

Jujur saya katakan, inilah pertama kali saya membaca buku yang bersumberkan kitab agama lain sebagai bahan rujukan selepas al-Quran. Buku ini saya beli di kedai buku MPH. Mungkin tidak dijual di kedai buku lain. Sewaktu  menulis entri ini, saya sebenarnya dalam proses mengkhatam buku ini. Jadi saya belum mengetahui keseluruhan isi kandungannya. Cukuplah saya katakan, buku ini sangat baik dari segi penulisan dan isi kandungannya. Nak tahu juga jawaban kepada pertanyaan yang dibincangkannya iaitu:

-       Mengapakah berlaku perbuatan syirik yang pertama di dunia?
-       Adakah Nabi Nuh a.s rasul yang pertama?
-       Siapakah rasul dan orang soleh yang hidup sebelum Nabi Nuh a.s?
-       Mengapakah Nabi Nuh a. s dikenali sebagai “ Adam kedua”?
-       Benarkah Nabi Nuh a.s membuat bubur Asyura?
-       Sejauh manakah perkembangan teknologi pada zaman Nabi Nuh a.s ?
-       Adakah semua haiwan di dunia ini berada di dalam bahtera?
-       Adakah banjir berlaku di seluruh dunia ataupun berlaku di sebahagian tempat sahaja?
-     Di manakah letaknya Bukit Judi yang diceritakan dalam al-Quran dan di manakah pula letaknya Gunung Ararat yang diceritakan dalam Bible?

Selain buku ini, buku bertajuk ‘Himpunan Kisah Para Wali’ yang dikarang oleh penulis Raihanah dan diterbitkan oleh Hijjaz Record (HR) Publishing juga berada dalam simpanan saya. Dibeli bersama buku Nabi Nuh a.s, saya seperti berada di zaman ketika para wali Allah SWT masih ramai menghiasi dunia ini. Pada ketika para ulama-ulama terkenal masih banyak hidup di mana-mana tempat di muka bumi ini. Satu demi satu saya selami kehidupan mereka. Sesungguhnya kisah hidup segelintir daripada mereka pada mulanya adalah biasa-biasa sahaja. Ada di antara mereka yang hidup bergelumang dosa sebelum menjadikan Allah SWT adalah segala-galanya. Ada juga yang menjadi pengemis, perompak dan sebagainya sebelum dianugerahkan Allah SWT hidayah dan akhirnya pergi menemui-Nya dalam keadaan Allah SWT meredhainya dan merahmatinya.

Saya tertarik dengan kata-kata Hassan al-Basri, katanya: “ Aku tahu rezekiku tidak akan diambil oleh orang lain, maka hatiku tenang. Aku tahu amalanku tidak akan dilaksanakan oleh orang lain, maka aku sibukkan diri untuk melakukannya. Aku tahu Allah SWT sentiasa memerhatikanku, maka aku malu untuk melakukan maksiat terhadap-Nya. Aku tahu kematian sentiasa menungguku, maka aku akan sentiasa menambah amalanku untuk menghadapi pertemuan dengan-Nya.” dan “ Setiap saat manusia wajib bertaubat tanpa mengira dia seorang yang patuh atau ingkar kepada perintah Allah.” Oleh Sahl Bin Abdullah At-Tustari. Sesungguhnya buku ini sangat memberi inspirasi malah saya kekadang mengkoreksi diri dan merenung jauh tujuan saya hidup di dunia ini. Merenung jauh tentang impian untuk hidup di sana nanti. 

“ Andaikata engkau beribadah kepada Allah
sebanyak ibadah penghuni langit dan bumi,
maka tidak akan diterima ibadahmu sebelum
engkau percaya kepada Allah dan jaminan-Nya.”


Sampai jumpa lagi sahabat semua, salam…

#Gambar di atas bukan hak milik saya

No comments:

Post a Comment