Bismillahirahmanirrahim
Assalamualaikum
dan selamat sejahtera sahabat semua. Alhamdulillah, pagi ini saya rasakan suatu
ketenangan. Amat tenang rasanya. Dengar nyanyian beburung di pohon jambu. Berasimilasi
dengan tiupan sang bayu yang ramah menyapa tubuh. Ya Allah, subhanallah. Dengan
hamparan luas langit lazuardi jauh di angkasa raya. Benar, siulan para burung
pagi-pagi ini sangat memberi kesan ke atas diri ini. Kekadang terbayang
syurga-Nya yang indah. Sangat indah. Hamparan kolam seluas tanpa penghujung. Mengembara
di langit-langit-Nya yang indah. Sejauh mata memandang. Dengar pula zikir
penenang hati, penawar segala penyakit. Subhanallah, saya tak tahu bagaimana
mahu menggambarkannya. Kalaulah boleh saya berikan secebis kenikmatan ini pada
sahabat-sahabat sekalian tentu kita dapat merasainya sama-sama.
Nun di
luar sana, pastinya rama-rama cinta mula mengembangkan kepaknya, menongkah
langit tinggi, tinggi dan terus tinggi ke udara. Hinggap di bunga yang indah,
menyedut manisnya madu penawar duka. Subhanallah. Tak terucap oleh kata-kata. Rama-rama
adalah makhluk Allah SWT yang kecil tapi sangat indah untuk menceriakan dunia
ini. Taman-taman bunga akan berseri dengan kehadirannya. Begitu juga dengan sang lebah yang rakus
menyedut nektar di atas kuntuman bunga yang mekar mewangi. Bunga-bunga pasti
berseri menyambut kedatangannya. Indahnya dunia ini bila segala yang ada
menyatu menjadi satu.
Matahari
pula sangat galak menceriakan dunia ini. Baru semalam bulan bersembunyi di
balik awan gemawan bersama bintang yang jauh di angkasa raya. Hari ini dunia
dihidangi dengan sinaran mentari yang menyuluh bumi jauh di ufuk timur. Entah mengapa
saya teringatkan kampung halaman. Teringatkan negeri kelahiran. Sungguh, kali
ini hati disayat rasa sedih. Pilu yang tak terbungkam oleh kata-kata. Saya rindu
pada kabus, rindu pada embun, rindu pada air mata alam, rindu pada hutan
belantara. Segalanya menjadi kerinduan.
Bersabarlah
duhai hati. Seketika nanti, akan datang hari itu, Kau akan terbang di langit. Seperti seekor burung, bersembunyi di balik awan. Singgah di sebuah pelabuhan sebelum sampai
ke destinasi. Nikmatilah kehidupanmu di sana sepuas-puasnya selama beberapa
hari sebelum kembali ke bumi sumber rezekimu. Insya Allah, moga Allah SWT
permudahkannya. Aminnn
#Gambar bukan hak milik saya
No comments:
Post a Comment