Friday, August 26, 2011

Mencari Sesuatu Di Sebalik Kalam

Bismillahirahmanirahim

Pagi-pagi ini ketika manusia sedang lena dibuai mimpi, saya pula masih menongkah langit lazuardi. Mencari keindahan di sebalik bebintang. Mencari bulan di sebalik kegelapan, mencari cahaya di sebalik kesirnaan. Saya mula mencari siapa diri saya.

Sementelahan pula baru sebentar tadi saya melihat sebuah kisah yang membuatkan saya terpegun seketika. Tidak percaya dengan apa yang dilihat dan tidak percaya dengan apa yang didengar. Cerita yang berkisahkan tentang orang munafik, orang yang suka berpura-pura semata-mata ingin mendapatkan sesuatu. Carilah cerita ini, tajuknya “ takbirratulihram” yang dilakonkan oleh Remy Isyak dan Syed Ali.

Cerita ini membuatkan saya mula menerka isi hati saya. Bagaimana kehidupan saya? Dan bagaimana kehidupan saudara-saudara saya. Sungguh, ketika cerita ini hampir tamat, air mata saya terus berjurai menuruni pipi. Saya menangis bukan kerana kemantapan lakonan yang dilakonkan oleh pelakonnya. Bukan juga jalan ceritanya. Bukan itu. Bahkan bukan juga kerana endingnya yang sedih tapi saya menangis kerana mesej yang ingin disampaikan. Saya menangis apabila membayangkan bagaimana kiranya saya yang juga selalu berpura-pura ini begitu sampai datang kepada Allah, Allah SWT tidak akan menerima saya. Allah tidak akan mengizinkan saya untuk melihat wajahnya.

Tidak habis begitu sahaja, apabila saya membuka blog sahabat-sahabat saya dan terbaca post mereka tentang ‘bagaimana jika sekiranya Allah mencintai kita’. Saya tambah terpegun. Terkedu. Terdiam seribu bahasa. Saya tidak tahu apa yang hendak dibuat. Hati sungguh tersentuh. Disebalik hati yang lembut ini ada sedikit tangisan dan kekaguman yang saya ingin suarakan. Tangisan yang ingin saya suarakan kepada Allah swt kerana kekaguman saya terhadap cinta-Nya kepada manusia yang dicintai-Nya. Sungguh, saya tidak dapat bayangkan kehidupan orang-orang yang bahagia apabila mendapat cinta Allah. Orang-orang yang dicintai oleh Allah di dunia bahkan akhirat. Dan saya pula bagaimana? Inilah kata hati saya yang mula bermain di fikiran.

Sebenarnya cinta siapa yang saya kejar selama ini? Adakah Allah? Kalau Dia, Adakah saya benar-benar ikhlas mencintai Allah? Sungguh, selama ini bibir sering berkata ‘Allah adalah cintaku’ tatkala insan lain bertanya siapa yang aku cintai sepenuh hatiku. Malah seringkali juga saya mengucapkan “ alam adalah cintaku”. Namun hari ini, kali ini saya mula bertanya pada diri. Saya mula berkata-kata dengan angin. Dan saya mula berkata-kata dengan laptop, sejauh mana keikhlasan cinta saya kepada Allah dan cinta saya kepada alam? Maka dengan itu, saya luahkannya di dalam blog ini.

Jika sekiranya kalian menyatakan bahawa blog saya ini tiada apa-apa kepentingan, bahkan blog yang menyajikan hal peribadi ataupun hal yang mengikut perasaan, seperti sahabat-sahabat saya katakan pada saya selama ini. Seperti yang kalian fikirkan selama ini. Ya!! Mungkin dan mungkin juga tidak mungkin. Tapi bagi saya, tak salah sekiranya saya menyatakan sesuatu berupa luahan perasaan bak kata orang di dalam blog saya ini kerana saya tahu, apa yang saya luahkan di sini bukan semuanya berkenaan tentang kata-kata yang mengikut perasaan. Tapi maafkan saya jika sekiranya blog saya ini lebih kepada tempat untuk meluahkan perasaan. Tempat untuk mengejar simpati orang. Bahkan mungkin tempat untuk menambah kebosanan kalian. Maafkan saya…maafkan saya. Jika anda bosan, jika anda meluat, ataupun jika anda marah, dengan penuh ketegasan dari saya, dengan penuh keseriusan dari saya, kalian tinggalkan blog ini untuk selama-lamanya. Kerana saya mahu orang yang menjadi pengembara di blog saya ini adalah orang yang mahu mencari sesuatu dengan mata hati. Orang yang mahu mencari berlian di atas timbunan kaca dan orang yang mahu mencari sesuatu yang luar biasa dari blog saya yang biasa-biasa ini. Tapi andai anda tidak menjumpai apa yang dicari maka saya tidak memaksa kalian untuk mencarinya di sini. Anda boleh lupakan blog saya untuk selama-lamanya.

Ya Allah, sungguh, saat saya mula melantunkan pena untuk menulis perenggan kelima di atas ini, hati saya dibalut dengan seribu pergolakan minda. Berjuta peperangan batin. Dan mungkin ini juga adalah luahan hati saya. Ya pasti! Tapi jika kalian memikirkan luahan berupa cinta terhadap sesama manusia di dalam blog ini, itu adalah hal peribadi saya yang tak akan pernah saya lukiskan dengan pena di sini. Kalau adapun mungkin dalam bentuk puisi. Dan puisi itu boleh ditafsir dengan seribu tafsiran. Orang pernah bertanya kepada saya tentang perkataan itu (cinta), dan saya dengan penuh ‘ bangga’ menjawabnya dengan penuh’rendah diri’. Kerana sememangnya saya tidak pernah memahami diri saya. Ada kalanya saya mahu orang lain tahu apa yang saya mahu dalam hidup dan adakalanya orang lain tak perlu bertanya kepada saya tentang apa yang saya perlukan dalam hidup misalnya cinta hati atau boyfriend atau yang sebenarnya special boyfriend kerana saya akan menjawabnya dengan seribu tafsiran.

Dan pertama kali, saya ingin kalian tahu membezakan apa itu cinta dan suka. Mungkin ianya sama sahaja bagi kalian. Tak ada bezanya antara suka dan cinta. hak anda menentukan segalanya. Saya ingin memetik sebuah puisi yang saya ambil dari blog seorang sahabat yang paling dekat dengan saya. Saya suka dengan puisi ini. Ringkas tapi padat dan jelas.

Aku suka
Mungkin berbual dengannya
Mungkin berkawan dengannya
Mungkin melihat tingkahnya
…….
Aku cinta
Bila mengenal hati budinya
Mengenal imannya
Mengenal baiknya
……

( Kepada sahabatku ini, maaf kerana memetiknya tanpa pengetahuan anda :-))

Dan sahabat-sahabatku sekalian, untuk pengetahuan korang, sambil buat assignment ni saya dibantu oleh secawan air kosong dan sepinggan nasi bersama lauk ( rasanya tak payah sahur lah kan.) – hah, ini barulah hal yang terlampau peribadi dari saya khas untuk korang. Layannnn….

Baiklah, sampai jumpa lagi ya wahai pengembaraku sekalian. Hmmm, macam apa yang saya cakap ni macam jauh menyimpang dari tujuan asal saya bermula dari perenggan kelima. Tapi tak apalah. Memanglah kan sebab otak saya ini bukan komputer yang boleh muat dan simpan banyak maklumat. Otak saya ini seperti keindahan alam yang semakin hilang ditelan arus kemodenan. Dan yang paling saya tak faham kenapa saya tak sambung ‘dokumentari’ saya pasal kampungku oh kampungku? Ini pula yang saya turunkan khas untuk anda semua. Hmmm, nantilah ya saya sambung dokumentari itu. Jangan bimbang atau risau jika sekiranya saya tak sambung-sambung sebab memang pun kalian tidak akan risau kan. Saya sahaja yang perasaan sendiri. okey, sampai jumpa lagi…salam.


No comments:

Post a Comment