Friday, March 26, 2010

BICARA SEKEPING HATI

Bismillahirrahmanirahim
AKU ingin berubah. Ya, aku ingin berubah. suatu hari nanti aku pasti akan mengecapi nikmat seorang hamba Allah SWT yang mendapat keredhaannya. Kejadian demi kejadian yang berlaku dalam dunia ini menyedarkan aku tentang kewujudan Allah SWT. Selama ini aku sering berteka teki tentang kewujudan Allah. Pendidikan agama yang aku ambil semasa di sekolah tidak dapat menyedarkan aku bahawa Allah itu wujud. Aku akui, aku memang jahil tentang agama yang aku anuti ini. aku tidak mentafsir isi Al-Quran dengan baik. Hatiku kosong, fikiranku kosong, malah segala-galanya bagiku adalah kekosongan belaka.

Namun sejak aku mengetahui bacaan sembahyang, hati ini ingin benar mengetahuinya. Lalu aku mula belajar sedikit demi sedikit. Sejak itu aku mula merapatkan diri kepada Allah. Aku mula mendambakannya. Aku mula sembahyang walaupun pada mulanya agak payah. Aku sudah pandai berdoa. Aku sudah pandai menangis. aku sudah pandai mengelamun. Aku sudah pandai menghayati, aku sudah pandai mencintai. Pada ketika itu aku rasakan bahawa diri ini sangat dekat dengan Allah. Aku juga sudah pandai melihat penampilannku, aku sudah pandai berasa malu kepada Allah dan makhluknya. Malah jauh di sudut hatiku, aku ingin menjadi seorang wanita yang solehah tapi masih mengekalkan gaya sebenarku. Inilah kesilapanku.

Aku selalu menyatakan pada diri bahawa Syaitan tidak lagi berjaya mengodaku kerana aku sudah dekat dengan Allah. Aku begitu takbur. Aku begitu yakin. Lalu kerana keyakinan dan ketakburanku itu, aku jarang berdoa agar dijauhi oleh godaan syaitan. Sekarang, hidup aku seperti kehidupan yang lalu. Allah telah mengujiku dan aku tidak berjaya. Mungkin Syaitan begitu marah denganku kerana mencabar mereka lalu meminta izin kepada Allah untuk mengujiku dan Allah izinkan. Nah, sekarang aku tidak berdaya menjarakkan diri dari godaannya. Malah seperti yang aku katakan tadi, kewujudan Allah sering menjadi teka teki fikiranku.

Aku tidak sedar tentang ini sehinggalah suatu ketika aku menemukan pelbagai ragam manusia, Pelbagai sumber ilmu, pelbagai kejadian alam dan dari situlah aku menyedari tentang kejahilan dan kebodohanku. Namun aku masih tidak berjaya untuk mengatasinya. Jauh di sudut hati ini aku mahu kembali kepada Allah. Pernah suatu ketika aku tidak suka mendengar laungan azan. Jika mendengarnya hati ini akan mengelegak dengan kemarahan. Malah aku juga malas mahu menjawabnya. Tapi Allah masih sayangkan aku, setiap kali suara azan habis, aku akan memikirkankan mengapa aku harus marah bila mendengar ayat-ayat suci itu. Dari itu aku berusaha untuk mengubah pandanganku dan Alhamdulillah, aku berjaya dengan Izin-Nya.

Tapi kehidupanku sekarang masih tidak berubah. Jalan hidup aku masih terumbang-ambing. Siapakah yang dapat menolongku untuk membimbingku ke jalan Allah. Aku mahukan seseorang. Hanya seorang. Seseorang yang benar-benar dapat membimbingku. Aku mahu berubah. berubah menjadi seorang hamba Allah yang baik. Aku rindu dengan kehidupanku yang lalu yang mana Allah selalu bertakhta di hatiku. Sekarang, keikhlasan untuk menghambakan diri kepada-Nya sangat susah untuk aku capai. Sekarang, amat susah air mata ini keluar meminta keampunan dari-Nya, sekalipun mengadu segala masalahku. Ya, Allah, apakah yang mengubahku. Apakah engkau mengujiku. Ya Allah ya Tuhanku. Aku mohon pertolongan-Mu.

No comments:

Post a Comment