Tuesday, April 5, 2016

Maafkan Saya Teman


Selamat jalan teman
moga kalian 
beroleh ketenangan
di tanah abadi.

Maafkan saya
kerana tak mampu
menghulurkan bantuan
dari tangan kerdil
mahupun lewat doa dipohon.

Andai saja
mereka mengerti kehadiran kalian
aku percaya
semua ini tidak akan terjadi
namun apakan daya
sungguh
mereka tidak mengerti
atau pura-pura tidak mengerti
kerana terbius oleh panahan dunia semata.

Maafkan saya teman
dari jauh aku melihat
bangsaku membunuh bangsamu
di situ liang lahadmu
bersemadi bersama sebuah luka
yang tak mampu disembuhkan.

Aku mengerti keduakaan dan kelukaan kalian
aku mengerti dan memahaminya
sungguh
namun ku mohon keampunan
kerana tak mampu membasuh
air mata kesedihan
berubah menjadi air mata kegembiraan.

Teman
aku seperti kalian
jauh seperti kalian
bahkan lebih dari kalian
semua yang datang bertali arus
tidak mampu ku tahan
sama ada kalian atau aku
kita adalah sama
sentiasa berdukalara
di sebalik kuntum senyuman
di balik dinding penderitaan
di balik tembok kehidupan.


S. Hana AK
Johor

#Mereka ingin bahagia walau sebesar zarah
#Bahasa alam adalah bahasa qalbi
#Mereka adalah teman kita
  berhak hidup di dunia bersama.

Saturday, April 2, 2016

Kabus Di Daerah Perbukitan



Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum dan salam sejahtera sahabat semua. Kalian kuanggap sebagai pengembara di blog saya ini. Blog yang biasa-biasa. Blog yang tidak berubah latar belakang. Sejak dulu hingga sekarang, inilah blog saya. Bulan Dan Bintang. Tidak pernah terlintas di hati dan fikiran ini untuk menukarnya. Mungkin sampai saya bosan, sampai saya tua atau sampai penghujung hayat saya di dunia fana ini, ia tetap sama. Tak berubah seiring usia waktu berlalu.

Hujung minggu ini saya luangkan masa untuk membaca novel ‘Kabus Di Perbukitan’ karya Mohamad Kholid Hamzah. Membaca tajuknya saja sudah cukup membuatkan saya tertarik untuk membaca isi kandungannya. Dua perkara yang menarik minat saya ketika melihat kulit muka depan buku ini adalah perkataan ‘kabus’ dan ‘perbukitan’ namun yang lebih utamanya adalah kata ‘kabus’ itu sendiri. Terbayang-bayang di ruang mata nun jauh di sana, kelihatan sebuah bukit yang mempunyai pemandangan indah diseliputi kabus dingin yang menyegarkan. Sejuknya mencengkam ulu hati. Pohon-pohon merendang sana sini. Setitik dua embun pagi menitis dari dedaun yang gagah mencengkam dahan.

Tiba-tiba saja saya teringat kampung halaman. Teringat sajak yang saya pernah karang suatu waktu dulu. ada satu rangkap sajak itu sengaja saya lakar di sini kerana sewaktu menulisnya pun saya terkenangkan kampung halaman saya. 

Saya suka pagi
di situ embun menitis
pada hamparan dedaun hijau
dari kabus yang hidup
di daerah perbukitan.

Dari perkataan ’kabus’ saja pun kita sudah boleh menginterpretasikannya dengan pelbagai tafsiran. ‘kabus’ boleh ditafsirkan dengan suasana sebuah kawasan yang berembun di pagi hari. Boleh juga sebuah tempat yang sejuk, dingin, nyaman, indah, ataupun boleh juga ditafsirkan sebagai sebuah kawasan yang berbukit atau bergunung-ganang yang mana masih asli dengan rimbanya yang redup. Suci. Unggas-unggas belantara boleh bersuka ria tanpa gangguan sesiapa. 

Dan tentunya bagi saya, kabus itu sudah cukup saya maknakan kampung saya sendiri. Dengan kata lain, kabus itu ada di sebuah kampung. Mana-mana kampung yang dikelilingi pohon-pohon redup. Saujana mata memandang. Bukit-bukau serba menghijau menyaksikan semilir perbukitan datang dari pelbagai arah. Mampu menanggalkan pakaian orang-orang tua di kampung yang cukup suka tubuh mereka disapa angin dari bukit.

Waktu kecil dulu, ketika usia saya masih digelar pucuk muda memang saya selalu menyaksikan suasana ini. Saya suka bangun awal pagi semata-mata mahu melihat kabus yang menengelamkan rumah kebanyakan penduduk kampung. Saya akan depangkan tangan lebar-lebar di laman, kemudian menyedut udara segar sebelum menghembusnya pelahan-lahan. Kadang-kadang hembusan bayu pagi membuatkan badan saya menggigil kesejukan. Saya cukup suka dengan suasana seperti itu. Sambil-sambil itu saya dan adik-adik akan cari sarang lelabah di puncak rumput-rumput yang gagah menongkah langit. 

Bila nampak saja sarang tersebut, kami akan merosakkannya dengan kaki atau tangan kadang-kadang. Membiarkan lelabah yang tinggal di sana meraung kesedihan. Saya akan bermain di halaman hinggalah suria terbit dari timur. Waktu itu sedikit-demi sedikit kabus mula menghilang. Titisan embun yang menempel pada dedaun dan rerumput hijau mula mengering. Masa itu barulah saya akan masuk ke rumah. Tapi acapkali, kalau tidak masuk ke rumah saya dan adik-adik, kakak, dan abang serta sepupu akan menyambungnya dengan bermain hinggalah pancaran matahari sudah mula terasa bahangnya.

Kabus pagi juga mengingatkan saya terhadap arwah ibu. Selalunya ketika kabus sudah mulai menghilang, Ibu akan segera turun dari rumah. Pergi ke bendang atau memberi makan haiwan peliharaan ataupun pergi ke kebun. Ibu, seorang wanita yang gigih dan tabah mengharungi hidup. Saya kagum dengan pengorbanan ibu. Namun ibu pergi terlalu awal. Saat ketika saya masih mahu merasakan belaian kasih sayangnya. Saat saya masih mahu melihat senyumannya di awal pagi. Saat saya masih mahu melihat wajahnya. Ibu sudah pergi menghadap Illahi. Saya sangat berharap semoga Allah SWT ampunkan semua dosa Ibu dan menempatkan Ibu di syurga-Nya yang tertinggi. Insya Allah, aminn. 

Sekarang, saya sudah tidak merasa kedinginan kabus lagi. Balik kampung pun belum tentu dapat merasa kesejukan di awal pagi. Di tempat saya sekarang lebih-lebih lagi, tidak ada langsung. Sesungguhnya saya rindukan suasana dahulu. Sebab itulah, apabila membaca karya Mohamad Kholid Hamzah ini, seakan mengimbas semula kenangan suatu masa dahulu. Mengimbas semula desa kerinduan saya. Desa Permai Kampung Kipaku.


Baiklah, sampai jumpa lagi sahabat semua…salam

Friday, April 1, 2016

Ayah dan saya


Bismilahirrahmanirrahim

Assalamualaikum dan selamat sejahtera sahabat semua. Moga kita sentiasa bahagia bersama kehidupan masing-masing. Sahabat, malam ini tiba-tiba saya teringatkan ayah saya di kampung. Sejak merantau jauh dari negeri kelahiran dan berkerja pula di bumi emas ini, hanya beberapa kali dalam setahun saya menjengguk ayah  di kampung. Sebenarnya rindu itu sentiasa ada. Kadang berdoa untuk ayah dan arwah ibu yang sudah lama berada di syurganya Allah SWT. Insya Allah, aminn. Seingat saya, sejak saya membuat blog ini, saya tak pernah menitipkan secebis kenangan tentang ayah ibu saya di ruang blog ini. Mungkin kata orang lain, ahhh, buat apa. Biarkan. Bukan saya sahaja yang ada ibu ayah. Semua orang ada ibu ayah kecuali Nabi Isa a.s yang hanya mempunyai ibu, tiada ayah. Jadi buat apa nak cerita tentang mereka. Betul tak?

Sahabat semua, terserah kita untuk melakukan apa sahaja di blog masing-masing asalkan tidak melanggar peraturan dunia dan akhirat. Dan hari ini, malam ini, detik ini saya akan berkisahkan ayah saya. Melunasi hutang saya selama bertahun-tahun. Ayah saya namanya seperti yang tersurat dalam nama saya Sujana Kondorid. Kondorid adalah nama bagi ayah saya.  Berasal dari sebuah desa permai di Negeri Di Bawah Bayu. Seorang yang sentiasa kemas. Tegap. Itulah ayah yang kukenal sejak dulu. Sejak aku kecil. Ayah memang kemas dan tegap sejak dari muda lagi. Kekemasan dan ketegapan itu berlarutan hingga sekarang, menginjak usia ke angka 70-an. Berdahi luas. Berhidung mancung, dagunya tirus. Boleh dikatakan ayah seorang yang kacak. Ibu berkahwin dengan ayah ketika ayah berumur 25 tahun manakala ibu pula 14 atau 15 tahun ketika itu. Hasil perkahwinan itu lahirlah saya, abang-abang, kakak-kakak dan adik-adik yang agak ramai ini.

Saya sangat sayangkan ayah dan ibu. Ibu punya kisah dan cerita yang tersendiri. Insya Allah, jika ada kelapangan saya akan kisahkan hikayat tentang ibu di blog saya ini. Lambang kasih sayang saya pada ibu. Seperti mana kasih sayang saya terhadap ayah. Ayah seorang yang bertanggungjawab. Sungguh bertanggungjawab. Masih saya ingat suatu peristiwa, ayah sanggup berjaga malam menjaga kami ketika kampung kami heboh dengan pencuri yang memecah masuk rumah penduduk kampung. Ayah begitu tegas dalam pelajaran anak-anaknya. Tiada seorang dari kami yang berani ponteng sekolah walau macam mana pun keadaannya. Walau sakit pening sekalipun, saya, adik-adik dan abang kakak akan datang ke sekolah juga walaupun ayah tidak tahu bahawa kami sakit masa itu. Padahal yang sebenarnya kalau ayah tahu, pasti ayah tidak akan benarkan kami ke sekolah. Tapi kerana takut, kami rela merahsiakannya. Hikmah daripada itulah, masa darjah lima saya dan adik saya dianugerahkan sijil kehadiran terbaik sepanjang tahun. Ayah begitu bangga masa itu. Ayahlah yang memberikan sijil itu kami kami berdua. Saya begitu bangga menjadi anak ayah. Ayahlah antara orang terawal yang datang ke sekolah untuk menghadiri majlis itu. Walaupun saya berkongsi kasut dengan adik ketika mengambil sijil tersebut, namun saya tidak kisah kerana yang saya mahu adalah untuk membuatkan ayah bangga dan bahagia melihat kami tersenarai dalam kalangan murid yang mendapat anugerah tersebut.

Ayah pernah cakap  yang sampai sekarang saya masih ingat, “ kamu kena belajar bersugguh-sungguh kalau nak makan kuih ni. Kamu belajarlah, boleh beli kuih. Kalau kamu ada duit boleh beli banyak-banyak. Makan sampai kenyang. Sebab itu saya nak kamu belajar sampai berjaya.” Sekarang bukan setakat  kenyang tapi sampai tak nak beli dah kuih dan biskut yang sewaktu kecil menjadi kegilaan. Betapa banyaknya hikmah ketegasan ayah dalam menjadikan saya orang yang berjaya.  Ketegasan ayah itulah yang membuatkan saya sangat meminati buku sehingga sekarang. Moga saya dan kalian semua akan terus menjadikan buku dan ilmu adalah cahaya dalam kehidupan seharian. Insya Allah, aminn.

Ayah seorang yang sangat baik. Saya tidak pernah dengar ayah mengata orang lain. Mengumpat sana sini. Tidak pernah. Jika ayah dihina ayah tidak akan membalasnya. Ayah hanya diam. Ayah akan buat kerja yang disukainya. Mungkin itu cara ayah melenyapkan hinaan orang. Ayah akan bercakap perkara yang baik-baik sahaja. Sampai sekarang, sampai ayah tua. Ayah juga sentiasa tersenyum. Cara ayah menghadapi ujian hidup yang dihadapinya adalah dengan senyuman. Gigi ayah tinggal satu batang. Kadang-kadang ayah nampak comel bila tersenyum. Itulah ayah. Sebagai anak saya kagum dengan sikap ayah ini. Insya Allah, sahabat semua, sebagai anak moga jadilah kita anak-anak yang sentiasa menyayangi ibu ayah dan mendoakan kebahagiaan mereka di dunia dan akhirat. Insya Allah, Amin. Ayah seorang yang sangat mesra dengan ramai orang. Mungkin sebab itulah ayah mempunyai ramai kawan. Waktu muda dulu, ayah agak aktif dengan sukan. Ayah pernah memenangi marathon yang diikutinya di Kuala Lumpur tahun 1990-an dulu. sebagai anak, saya sungguh bangga dengan ayah. Kejayaan ayah itu menjadi pemangkin untuk saya dan adik-beradik lain untuk aktif dalam sukan di sekolah dulu.

Masa kecil dulu, kalau saya sakit, saya paling suka kalau ayah yang bawa saya ke hospital sebab lepas berubat ayah akan bawa ke kedai makan. Masa itulah saya boleh pulun habis-habisan kuih-muih yang terhidang sampai kenyang. Peluang seperti itu bukan selalu ada kerana kesukaran hidup menjadikan ayah ibu lebih berjimat dalam berbelanja. Bila dikenang, mungkin ayah sengaja buat begitu untuk memberikan saya dan adik-beradik rasa bahagia setelah beberapa hari tidak berselera untuk makan. Makanya ayah mahu mendatangkan selera makan kami dengan membiarkan kami makan makanan yang jarang dinikmati. Bila mengenang nostalgia bersama ayah, memang agak banyak memori yang menjadi kenangan terindah. Sekarang saya sudah jauh dari ayah. Jarang jengguk ayah. Kalau setahun dua tiga kali saya balik kampung. Kerinduan terhadap kampung halaman dan ayah membuatkan saya mahu sentiasa balik lebih-lebih lagi bila tiba musim raya. Tiap tahun balik kampung. Jumpa ayah. Menikmati kehidupan di kampung setelah berbulan hidup di bandar. Sekaligus mendatangkan ketenangan dan kedamaian setelah berbulan-bulan dibebani dengan tekanan kerja.

Sahabat semua, mari kita doakan agar ayah ibu kita dan seluruh keluarga kita beroleh kebahagiaan di dunia dan akhirat. Insya Allah, aminnn. Bagi mereka yang masih ada ayah dan ibu saya doakan moga kita terus berbakti untuk ayah dan ibu  kita. Menyayangi mereka. Menjadi anak yang soleh dan solehah terhadap orang tua kita. Insya Allah, aminn. Kepada sahabat-sahabat yang sudah tidak punya ayah, saya doakan moga mereka berada di syurganya Allah SWT. Insya Allah, aminn. Teruskan mendoakan ayah ibu kalian. Terus berusaha menjadi anak yang terbaik dari yang terbaik. Insya Allah. Aminn. Moga kita semua, termasuk dalam golongan hamba Allah SWT yang beriman. Insya Allah, aminn.

Sampai jumpa lagi sahabat semua. salam untuk diri dan anda semua, salam…