Thursday, May 11, 2017

Gambar Telah Menceritakannya


Bismillahirahmanirrahim

Assalamualaikum dan selamat sejahtera sahabat semua. Moga kalian sentiasa sihat dan bahagia dalam setiap perjalanan hidup ini. Sahabat, semua kita telah melalui pelbagai peringkat perjalanan kehidupan kita. zaman kanak-kanak, remaja, dewasa hinggalah ke hari tua kita. Seperti kalian, terdapat banyak gambar yang saya ambil yang mana setiap gambar ini mempunyai kisahnya yang tersendiri. kenangan-kenangan itu sentiasa terakam kejap di kotak fikir ini. Di sini saya tampilkan beberapa gambar yang pernah singgah dalam arus hidup saya.


Ini adalah gambar Monster House. Sebuah rumah lama dua tingkat yang diperbuat daripada bambu. Semasa saya kecil dulu, rumah ini menjadi markas saya, adik-beradik dan sepupu sepapat untuk bermain sembunyi-sembunyi. Bahkan dahulu kawasan persekitaran rumah ini hanyalah padang ragut yang menempatkan kerbau-kerbau yang dipelihara oleh orang kampung. Rumah ini dimiliki oleh sebuah keluarga sebelah datuk saya yang berpindah ke tempat lain dan akhirnya rumah ini dijadikan sebagai pondok untuk menyimpan biji padi. Sekarang, rumah banglo ini sudah semakin mereput dimakan usia malah sudah banyak dindingnya yang tertanggal. Lantainya juga semakin mereput kerana terbiar begitu lama. Tiada siapa yang menjaganya, tiada siapa yang memeliharanya dan tiada siapa yang mempedulikannya. Inilah kisah hidup si Monster House yang semakin lenyap keceriaan dan sinar kebahagiaan.



 Ini pula adalah gambar pokok getah, kelapa kembar dua dan pokok nangka. Waktu saya kecil dulu, pokok ini berbuah lebat dan lapang. Memang beginilah keadaanya sejak dari dulu lagi, bercantum antara satu sama lain kecuali pokok getah yang tumbuh di sebelahnya. Jika ada masa terluang kami akan mengambil buah nangka untuk dijadikan sayur manakala buah kelapa pula diminum dan isinya dimakan. Di sinilah tempat saya dan sepupu bermain arca pelbagai jenis yang mana tanah liat diambil dari sawah yang berada tidak jauh dari tempat ini. Oh ya, tempat ini bersebelahan dengan rumah bertingkat dua yang digelar Monster House (gambar atas). Sekarang, kawasan ini semakin terbiar dan penuh dengan lalang. Tiada lagi kanak-kanak bermain di sekitarnya malah pohon kelapa, nangka dan pokok getahnya semakin meninggi dan menua. Tidak lagi rendang seperti dulu. Sungguh, saya berasa sedih apabila melihatnya bagaikan melihat sesuatu yang sudah tiada.


Masa saya balik beberapa tahun lalu, saya ternampak benda ini lalu mengambil gambarnya. Kalian kenal benda ini? Inilah yang dinamakan buaian warisan. Senang saja cara membuatnya. Hanya memerlukan tali, kayu dan dahan untuk tempat bergantung. Kayu yang diikat tali akan digantungkan di atas dahan yang kukuh dan besar. Pastikan dahan itu sangat kuat untuk menampung badan kita nanti. Malah ia juga memerlukan kawasan yang lapang dan redup, barulah seronok bermain. Sekarang mainan ini sudah dihakis ditelan arus kemodenan. Walaupun budak-budak duduk di kampung tetapi apa yang saya nampak, mereka lebih suka bermain komputer dan telefon. Sungguh, saya bersyukur kerana pernah merasai pengalaman zaman kanak-kanak tanpa gadget.


Moga jumpa lagi di lain waktu sahabat semua. Salam...


No comments:

Post a Comment